Anda Pengunjung Ke :

Thursday 3 August 2017

Tunku Puan Zanariah: Wakil Malaysia Dalam Miss International 1960.

YAM Tunku Puan Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad.

Post WARISAN PERMAISURI MELAYU kali ini akan bercerita tentang kisah seorang puteri raja yang menjadi ratu cantik dan seterusnya menjadi Permaisuri negeri dan Raja Permaisuri Agong. Tahukah para pembaca sekelian bahawa Yang Amat Mulia Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad pernah mewakili Malaya dan pertandingan Miss International 1960. Baginda yang ketika itu berusia 20 tahun menyandang gelaran Miss Malaya dan mewakili negara dalam pertandingan ratu cantik antarabangsa ini. Baginda merupakan antara gadis terawal dalam sejarah negara yang bertanding dalam pertandingan ratu cantik antarabangsa ini. 


Tunku Puan Zanariah merupakan puteri diraja Kelantan, anakanda kepada Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Ahmad Ibni Almarhum Tengku Temenggong Kelantan Tengku Abdul Jaafar. Baginda memenangi edisi pertama Miss Malaysia-International 1960 yang melayakkan baginda mewakili negara dalam Miss International 1960 yang diadakan di Long Beach, California pada 12 Ogos 1960. Tunku Puan Zanariah bertanding bersama 51 peserta dari pelbagai negara. Namun, baginda tidak memenangi apa-apa gelaran. Peserta dari Colombia, Stella Marquez menjadi Miss International 1960. Kecantikan dan kelembutan Tunku Puan Zanariah telah menarik hati seorang putera dari Johor. Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Ibni Sultan Ismail telah berkenan untuk memperisterikan baginda dan pasangan diraja ini telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1961. Dari seorang ratu cantik pada tahun 1960, baginda menjadi Permaisuri negeri Johor pada tahun 1981. Seterusnya baginda diangkat menjadi suri negara dengan bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-8 pada tahun 1984. Kini, Tunku Puan Zanariah telah berusia 77 tahun. Semoga Allah S.W.T. memberikan limpah rahmat kepada YAM Tunku Puan Hajah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad.


Tunku Puan Zanariah (dalam bulatan) bersama peserta-peserta yang lain.

Senarai 52 orang peserta Miss International 1960.




No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...