Anda Pengunjung Ke :

Saturday 16 July 2016

Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor.

Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Darul Ehsan 
Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj,
D.K.I.(Johor), D.K.II(Selangor), S.P.M.S., S.P.M.J., S.J.M.K., P.I.S.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah diucapkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Panglima DiRaja Selangor Darul Ehsan Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj yang telah dilantik sebagai Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Darul Ehsan pada 27 Jun 2016. Beliau yang juga merupakan adinda kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj dilantik oleh kekanda beliau dalam satu isiadat yang diadakan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Almarhum Tengku Badlishah.

Gelaran Tengku Laksamana Selangor merupakan kerabat bergelar paling kanan dalam susunan keutamaan kerabat bergelar negeri Selangor selepas DYTM Raja Muda Selangor. Jawatan ini telah 28 tahun tidak diisi. Sebelum ini jawatan Tengku Laksamana Selangor disandang oleh Almarhum Tengku Badlishah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj yang mangkat pada 1 Jun 1988. Almarhum Tengku Badlishah merupakan putera kedua kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Kedua Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Tengku Badlishah dilantik sebagai Tengku Laksamana Selangor pada tahun 1961 dan memegang jawatan ini sehingga kemangkatan beliau pada tahun 1988. 

Sultan Selangor menyampaikan watikah perlantikan kepada Tengku Sulaiman.

Jawatan Tengku Laksamana Selangor ini diperkenalkan ketika pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa sekitar tahun 1930-an. Penyandang pertama gelaran Tengku Laksamana Selangor ialah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Pada 11 September 1931, baginda yang ketika itu menyandang jawatan Tengku Panglima Diraja telah dilantik oleh ayahanda baginda Sultan Ala'eddin untuk mengisi jawatan Tengku Laksamana Selangor. Penyandang kedua ialah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang dilantik pada 1 Ogos 1946. Penyandang ketiga ialah Almarhum Tengku Badlishah dan penyandang keempat dan terkini ialah Tengku Sulaiman Shah AlHaj.



Tengku Sulaiman Shah merupakan putera kedua kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj. Beliau diputerakan pada 17 Jun 1950. Tengku Sulaiman dilantik sebagai Tengku Panglima Besar Selangor oleh ayahanda beliau pada 13 Jun 1972 ketika usia 22 tahun. Beliau memegang jawatan itu selama 6 tahun sebelum dilantik sebagai Tengku Panglima DiRaja Selangor pada 1 Ogos 1978. Perlantikan beliau sebagai Tengku Laksamana Selangor dibuat setelah Sultan Selangor berunding dengan Dewan DiRaja Selangor pada 30 Mei 2016. 

WARISAN PERMAISURI MELAYU mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor Darul Ehsan Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...